Assalamualaikum..
Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah.
Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana
yang dilakukan oleh Rasulullah s. a. w. yang biasa memanjangkan
sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya.
Sabda Rasulullah s. a. w :- "Suasana yang paling hampir antara seseorang
hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu
hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."
Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti.
Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah
doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.
"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal,
imam yang benar, ilmu yang bermanfaat,
kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi,
hati yang bersih dan kejayaan yang besar."
Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau
sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam
mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat.
Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya.
Rasulullah s. a. w biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan
kerana lamanya baginda bersujud.
Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam
sabdanya yang bermaksud:-
"Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari
kiamat"
Mendengar itu para sahabat bertanya: "Bagaimanakah engkau dapat mengenali
mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?"
Jawab baginda: "Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki
oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor
kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?"
Sahabat Menjawab: "Bahkan !" Rasulullah menyambung: "Kerana sesungguhnya
pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berseri-seri) disebabkan
mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudu')
putih berseri-seri oleh cahaya wudhu' !!!"
KEISTIMEWAANNYA
------------ ---------
Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya.
Rasulullah s.a. w. bersabda yang bermaksud:-
"Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka
yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan
orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka
dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah
neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar
dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain
bekas sujud"
Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud
mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah
tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba
yang benar-benar mendapat rahmat.
Ps: Semoga beroleh manfaat.. Insya Allah..